Program Pembangunan MIC di Mesyuarat CWC

Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Kerja (CWC) MIC telah berbincang secara panjang lebar tentang program pembangunan MIC pada tahun 2016. Terdapat 11 jenis program telah dirancang untuk dilaksanakan. Antaranya ialah menghasilkan sekurang-kurangnya 2000 usahawan mikro di kalangan masyarakat kaum India pada tahun 2016. MIC juga mempunyai rancangan untuk membantu dalam melipat gandakan pendapatan dan pencapaian usahawan SME kaum India yang sedia ada melalui program-program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan. Sehubungan dengan itu, kita akan membantu dengan mendapatkan dana-dana pinjaman yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri serta bantuan yang sedia ada seperti SME Corp dan agensi kerajaan yang lain.

Di dalam bidang pendidikan pula, MIC telah mengenalpasti beberapa program. Antara program yang dirancang ialah meningkatkan perhubungan yang sedia ada antara MIC dan penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara dan membantu murid-murid sekolah rendah yang tidak mencapai keputusan yang memuaskan, Selain itu, bagi pelajar sekolah menengah pula, MIC akan mengadakan program Mentor – Mentee yang menggabungkan pelajar-pelajar IPT, ahli MIC serta pelajar sekolah bagi meningkatkan pencapaian dan membantu dalam menghindari masalah atau gejala sosial yang seringkali melanda generasi pada masa kini.

Selain itu juga, sayap Wanita MIC akan berperanan dalam mentranformasikan keluarga kaum india melalui meningkatkan keupayaan golongan ibu dalam sesebuah keluarga. MIC akan mengenalpasti 1000 keluarga kaum india yang mempunyai masalah kemiskinan dengan memberi pendidikan kepada golongan ibu dalam meningkatkan kemahiran dan pendapatan mereka seisi keluarga. saya percaya, golongan ibu mempunyai kemampuan serta kebolehan dalah merubah nasib keluarga masing-masing.

Special Task Force juga akan dibentuk bagi memantau perkembangan golongan 40% pendapatan isi rumah di bawah Rancangan Malaysia ke-11. Ia bagi memastikan masyarakat kaum india akan mendapat manfaat daripadanya kerana sebelum ini sesetengah mereka tidak mempunyai pengetahuan serta kepekaan mengenai perkara tersebut lalu gagal dimanfaatkan sepenuhnya. Justeru itu, Special Task Force ini akan bertindak sebagai penghubung serta pemudahcara antara masyarakat kaum india dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat.

Selain itu, Pusat Kaunseling Pendidikan juga akan ditubuhkan di Ibupejabat MIC. Ia berfungsi sebagai pusat sehenti dalam menyampaikan maklumat serta dorongan mengenai peluang pendidikan yang ada bagi membantu generasi muda dalam membuat keputusan yang tepat dalam menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Daripada segi politik pula, MIC akan mewujudkan Command Centre bagi memantapkan strategi politik dan implementsi dalam persediaan menghadapi Pilihanraya Umum 14. Ia akan ditubuhkan di seluruh negara dengan tujuan meningkatkan pencapaian MIC di dalam PRU 14 yang akan datang. Ia akan meliputi perkara berkenaan politik khususnya seperti pendaftaran pengundi baru, kawasan yang berisiko tinggi, mengenalpasti dan meningkatkan sokongan pengundi kaum india terhadap Barisan Nasional.

Saya juga telah melantik 7 ahli jawatankuasa tertinggi melalui kuasa yang diberikan kepada saya sebagai Presiden MIC. Dengan perlantikan ini, terdapat 45 orang ahli jawatankuasa CWC seperti sedia ada.

Dalam isu Indira Gandhi, kita telah membincangkan dan berpendirian untuk melihat daripada segi hak seorang ibu serta perhubungan antara ibu dan anak. Ia tidak melibatkan hal agama. Daripada segi prinsip seorang ibu dalam memberi perlindungan anak yang masih kecil, kami berpendapat hak tersebut sepatutnya diberikan kepada ibu. Oleh itu, kita akan memperjuangkan melalui sudut itu dan malah saya sudah memulakan perbincangan bersama-sama Perdana Menteri dan akan terus memberi perhatian kepada perkara ini. Selain itu, sayap Wanita MIC akan membincangkan bersama-sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai perkara ini untuk mendapatkan sokongan dalam memperjuangkan hak seorang ibu. Saya melihat ia tidak melibatkan hal agama dan saya percaya sistem perundangan di negara ini akan melindungi hak seorang ibu terhadap anakya.

Bagi menghadapi PRU 14, MIC akan melakukan persiapan rapi dalam menghadapinya. Dengan mewujudkan pusat-pusat di seluruh negara khususnya di kawasan yang akan ditandingi oleh calon MIC, MIC akan lebih bersedia. Sehubungan dengan itu, YB Kamalanathan telah diberikan tanggungjawab dalam memodenkan cara pentadbiran dalam MIC yang pada kini kita masih bergantung dengan sistem yang lama. Ia akan berlandaskan kemudahan ICT dan moden seiring dengan teknologi terkini. Selain itu, berkuatkuasa pada 1 April 2016, Datuk Seri S.Vell Paari akan mengambil tanggungjawab sebagai Bendahari MIC.

Pin It

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *