KKM akan menjalankan pemeriksaan secara berkala ke atas kantin sekolah di seluruh Malaysia – Dato Seri Dr S.Subramaniam

Saya ingin memberi penjelasan berkaitan dua perkara. Perkara pertama adalah berkaitan dengan isu pencemaran makanan yang berlaku khususnya di sekolah dan asrama. Pada tahun lepas, terdapat 101 kes keracunan makanan yang melibatkan sekolah dan asrama telah dilaporkan.

Seperti sedia maklum, pada 24 Februari 2016 yang lalu, telah berlaku satu kes makanan tercemar di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Nigel Garder, Bestari Jaya Selangor. Ia telah melibatkan 67 orang murid dan seorang guru. Ia dilaporkan melibatkan menu bihun goreng di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang disyaki tercemar dengan bahan asing yang disyaki kaca.

Justeru itu, Bahagian Keselamatan Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia bersama-sama Kementerian Pelajaran Malaysia telah menjalankan pemeriksaan ke atas pembekal makanan tersebut. Bihun goreng tersebut dilaporkan telah siap masak di rumah dan pengusaha kantin hanya menghidangkan makanan tersebut di kantin sekolah. Pemeriksaan juga telah dijalankan ke atas dapur rumah tersebut dan didapati tahap kebersihan dapur tidak memuaskan dan berada dalam keadaan tidak terurus.

Bagi menangani isu makanan yang dibekalkan di sekolah di seluruh negara, ia akan dibincangkan bersama-sama Kementerian Pelajaran Malaysia. Satu garis panduan berkaitan pemantauan kebersihan dan keselamatan makanan yang disediakan di luar kantin sekolah, turut juga akan disediakan dalam masa terdekat. Selain itu juga, latihan dan garis panduan akan diberikan kepada guru-guru sekolah di seluruh negara berkaitan kaedah dan tatacara pemantauan kebersihan dan keselamatan makanan. Ia akan dipimpin oleh Guru Hal Ehwal Murid dan diketuai oleh Guru Besar di sekolah masing-masing. Ia bertujuan agar pihak sekolah dapat menjalankan pemeriksaan awal tahap kebersihan dan keselamatan makanan. Selain itu, pihak KKM akan menjalankan pemeriksaan secara berkala ke atas kantin sekolah di seluruh Malaysia.

Kebiasaannya, pemantauan ke atas kantin sekolah dibuat tanpa sebarang masalah. Namun begitu, berkenaan makanan yang telah siap di masak di rumah, pihak KKM mempunyai kekangan untuk menjalankan pemeriksaan. Ia disebabkan kesukaran dalam menentukan jumlah pihak pengusaha kantin yang melakukan perkara sebegini. Sehubungan itu, Bahagian Keselamatan Makanan KKM akan mengadakan perbincangan untuk mengatasi masalah serta mencari pendekatan yang holistic dalam memastikan perkara seumpama ini dapat dielakkan pada masa akan datang.

Pengusaha kantin yang terlibat dengan isu makanan tercemar ini, telah digantung perkhidmatannya buat sementara waktu sehingga siasatan selesai dijalankan dan tindakan sewajarnya akan diambil dengan segera. Dalam perkembangan yang berkaitan, lima daripada tujuh pelajar yang telah menerima rawatan di hospital akibat perkara ini, telah dibenarkan pulang.

Menyentuh perkara kedua, saya telah memohon kepada Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meningkatkan proses pemantauan ke atas syarikat konsesi yang dipertanggungjawabkan untuk menyelenggara hospital dan fasiliti kesihatan milik kerajaan di seluruh negara.

Pada masa ini, terdapat 5 buah syarikat konsesi yang diberi tanggungjawab dalam menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan hospital di seluruh negara dibawah program penswastaan Perkhidmatan Sokongan Hospital (PSH). Lima syarikat konsesi yang dilantik iaitu Edgenta Mediserve Sdn. Bhd. bagi zon utara (Perlis, Pulau Pinang, Kedah dan Perak), Radicare (M) Sdn. Bhd. bagi zon tengah dan timur (W.P KL & Putrajaya, Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan), Medivest Sdn. Bhd. bagi zon selatan (Negeri Sembilan, Melaka dan Johor), One Medicare Sdn. Bhd bagi Zon Sarawak dan Sedafiat Sdn. Bhd. bagi zon Sabah.

Namun sejak Jun tahun lalu, KKM telah mengenakan pemotongan yuran (deduction) lebih kurang RM 6 juta terhadap syarikat-syarikat terbabit. Walaubagaimanapun, saya masih kurang berpuas hati berkaitan cara kerja dan perkhidmatan syarikat konsesi terbabit. Semenjak 2-3 bulan yang lalu, sering dilaporkan di media massa berkenaan perkhidmatan di fasiliti kesihatan tidak diselenggara dengan baik seperti sistem penyaman udara tidak dapat berfungsi sepenuhnya, keadaan lif yang kerap rosak dan sebagainya.

Sehubungan itu, KKM akan meningkatkan keupayaan Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan KKM dengan cara menambah serta meningkatkan kepakaran yang ada supaya kerja-kerja pemantauan dapat dilakukan dengan baik dan efisyen. Sehubungan itu, KKM akan mengadakan perbincangan bersama-sama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memastikan peningkatan kepakaran dapat dilakukan dengan menambah bilangan kepakaran di bahagian tersebut supaya ia dapat berfungsi dengan lebih berkesan.

Selain itu, saya juga telah mengarahkan Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan KKM untuk meningkatkan sistem pemantauan supaya lebih teliti, efisien dan konsisten dalam memantau kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan hospital oleh syarikat berkenaan. Malah, sekiranya syarikat konsesi terbabit masih gagal dalam memastikan fasiliti perkhidmatan kesihatan di fasiliti kerajaan dapat berfungsi dengan baik, tindakan penalti yang lebih tinggi akan dikenakan. Mereka perlu bertanggungjawab sekiranya berlaku kerosakan atau sebarang perkara tidak diingini akibat kelalaian mahupun kecuaian syarikat konsesi terbabit. Tindakan ini juga diambil bagi memberi peringatan kepada syarikat tersebut agar sentiasa memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan fasiliti kesihatan dan hospital di seluruh negara dapat dijalankan dengan baik dan konsisten bagi menjamin perkhidmatan yang baik dan keselesaan kepada masyarakat dapat diberikan secara optimum.

Pin It

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *