KENYATAAN MEDIA BERKAITAN INDEKS KEBAHAGIAN DUNIA 2019

KENYATAAN MEDIA BERKAITAN INDEKS KEBAHAGIAN DUNIA 2019

KENYATAAN MEDIA

LAPORAN INDEKS KEBAHAGIAAN DUNIA 2019 : KEDUDUKAN MALAYSIA JATUH TEMPAT KE-80 MENUNJUKKAN KEGAGALAN KERAJAAN PAKATAN HARAPAN MEREALISASIKAN ASPIRASI RAKYAT

22HB MAC 2019

Laporan Indeks Kebahagiaan Dunia telah diterbitkan baru-baru ini dengan menyaksikan Malaysia jatuh 45 anak tangga ke tempat yang ke-80. Pada tahun 2018, Malaysia menduduki tempat ke-35. Kejatuhan ini sekali gus memberikan tamparan kepada Kerajaan Pakatan Harapan yang berjanji akan memulihkan kesejahteraan rakyat serta menjanjikan bulan dan bintang menerusi manifesto mereka yang kini jelas gagal ditunaikan. Walhal, laporan ini memberikan gambaran jelas bahawa Kerajaan gagal mengurus serta merealisasikan aspirasi rakyat.

Indeks Kebahagiaan Dunia menjadi dimensi pengukur asas untuk memahami persepsi rakyat sesebuah Negara kepada kehidupan harian. Laporan ini adalah penting untuk melihat tahap kepuasan rakyat dalam mengharungi kehidupan seharian. Indeks Kebahagian Dunia diukur dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, kesejahteraan, pendapatan, kebebasan, kepercayaan, kesihatan, sokongan sosial, tahap rasuah dan kemurahan hati.

Penurunan secara drastik 45 anak tangga bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan. Rakyat memberikan signal jelas bahawa perhatian harus diberikan kepada kesejahteraan dan keperluan mereka. Rakyat sudah mula merasakan diri mereka tertipu dengan segala janji manis yang akhirnya menjejaskan kehidupan seharian mereka dengan kenaikan kos sara hidup. Senario politik yang tidak menentu, keadaan ekonomi yang lemah dan nilai mata wang yang mencatat penyusutan juga sememangnya memberikan kesan kepada kepercayaan rakyat terhadap kemampuan pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan. Kerajaan tidak boleh memandang ringan laporan ini kerana kesejahteraan dan kebahagian rakyat memberikan kesan langsung kepada produktiviti dan cabaran mengharungi kehidupan seharian mereka. Kerajaan perlu melihat kesusahan, kebimbangan serta tekanan hidup seharian melalui kaca mata rakyat secara komprehensif dan bukannya secara makro atau bird view.

Malaysia telah mencatatkan prestasi paling teruk tahun ini sejak laporan itu mula diterbitkan mulai tahun 2012. Sekiranya kita imbas kembali indeks berkenaan dan kedudukan Malaysia, tahun 2015 tempat ke-61, tahun 2016 tempat ke-47, tahun 2017 tempat ke-42 dan tahun 2018 tempat ke-35. Kerajaan Barisan Nasional dahulu melalui pelbagai pendekatan menunjukkan prestasi peningkatan baik serta berjaya memperbaiki tahap kebahagiaan rakyat secara konsisten.

Justeru, Kerajaan Pakatan Harapan perlu sedar bahawa manifesto populis hanya boleh memberikan kemenangan sementara malah dasar mengutamakan kesejahteraan rakyat yang sebenarnya akan memberikan impak positif serta kepercayaan berpanjangan di kalangan rakyat. Saya mohon Kerajaan Pakatan Harapan untuk memberikan lebih perhatian kepada keperluan, kehendak, kesejahteraan dan aspirasi rakyat. Jangan buang masa dengan terus berpolitik siang malam yang tiada kesudahannya. Semoga kedudukan Indeks Kebahagiaan Dunia tahun 2020 dapat diperbaiki.

Terima kasih.

PUNITHAN PARAMSIVEN
AHLI JAWATANKUASA KERJA PUSAT MIC KEBANGSAAN