KERAJAAN PERLU BERIKAN JUSTIFIKASI PEMBINAAN LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA KULIM, KEDAH

KERAJAAN PERLU BERIKAN JUSTIFIKASI PEMBINAAN LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA KULIM, KEDAH

KENYATAAN MEDIA

KERAJAAN PERLU BERIKAN JUSTIFIKASI PEMBINAAN LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA KULIM, KEDAH

20HB MAC 2019

Semalam YB Dato’ Seri Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi telah mengumumkan kelulusan 7 projek mega bernilai RM3.2 billion khas buat Negeri Kedah. Negeri Kedah sememangnya mempunyai potensi ekonomi yang baik untuk diperkembangkan dan pengumuman Kerajaan Pusat semalam akan memberikan impak positif namun justifikasi perlu diberikan untuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa yang baru di Kulim dengan kos RM1.6 billion.

Baru-baru ini, YAB Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang menyatakan bahawa projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di jangka bermula pada Jun 2020. ( http://www.bernama.com/state-news/beritabm.php?id=1704393 )

YB Lim Guan Eng, Menteri Kewangan pula telah menyatakan bahawa, “Kerajaan peka terhadap isu kesesakan ini dan kita berharap LTAPP mampu menampung kira-kira 16 juta penumpang dalam suatu masa, namun kos pembesarannya memerlukan perbelanjaan begitu tinggi, sekitar RM1.2 bilion”. ( https://www.google.com/…/projek-pembesaran-ltapp-guna-k…/amp )

Jarak antara Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Kulim adalah lebih kurang 45km. Justeru, Kerajaan Pusat perlu memberikan justifikasi sebenar kenapa wujud keperluan terdesak untuk membina sebuah Lapangan Terbang Antarabangsa yang baru di Kulim, Kedah. Bukankah kapasiti di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang cukup memadai untuk menampung perkembangan ekonomi dan pelancongan di Utara Semenanjung memandangkan Kerajaan sudah bersetuju untuk projek pembesaran lapangan terbang berkenaan?

Satu lagi persoalan yang timbul adalah apakah Kerajaan Pusat ingin mengalihkan tumpuan pembangunan ekonomi ke Negeri Kedah daripada Pulau Pinang? Kerajaan Pusat perlu mengumumkan laporan kajian impak dan keperluan semasa terlebih dahulu yang mendorong Kerajaan Pusat untuk membina sebuah Lapangan Terbang Antarabangsa yang baru berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang sedia ada. Pelbagai projek pengangkutan sedang dikaji semula dan ada pula yang diberhentikan atas alasan kekangan kewangan Negara namun pengumuman semalam memberikan gambaran yang sebaliknya.

Saya berharap YB Dato’ Seri Azmin Ali akan tampil dengan penjelasan yang bernas untuk menyokong pengumumannya semalam. Kita sedar bahawa hubungan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kedah adalah bagaikan tanggungjawab seorang bapa yang menyayangi anak namun atas dasar kewangan Negara yang masih belum pulih dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang akan bermula maka keputusan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim yang baru perlu dikaji semula dan diberikan penjelasan umum.

Terima kasih.

PUNITHAN PARAMSIVEN
AHLI JAWATANKUASA KERJA PUSAT MIC KEBANGSAAN