MIC: Tiada masalah dengan PAS, cuma beberapa pemimpin ‘rasis’ Umno

MIC: Tiada masalah dengan PAS, cuma beberapa pemimpin ‘rasis’ Umno

MIC hari ini berkata parti tersebut mengalu-alukan ‘persandingan’ Umno-PAS yang dilihat dapat memperkuatkan gabungan BN pada masa akan datang.

Justeru, Ketua Penerangan MIC V Gunalan juga menafikan khabar angin bahawa MIC tidak selesa dengan kesepakatan Umno-PAS.

“Tidak, MIC tidak iri hati dengan kerjasama Umno-PAS seperti dikhabarkan oleh beberapa pihak.

“Sebaliknya, MIC mengalu-alukan kerjasama antara Umno-PAS yang jelas akan memperkuatkan jentera BN,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mengulas kerjasama dengan PAS, Gunalan berkata MIC lebih ‘senior’ berbanding Umno.

Katanya, MIC dan PAS telah bekerjasama sejak pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia secara terbuka.

Wakil MIC juga, katanya hadir ke muktamar PAS sebelum ini.

“Ada yang kata, bahawa MIC membuat keputusan untuk meninggalkan BN selepas tidak selesa dengan kerjasama Umno-PAS. Ia tidak benar.

“Sebaliknya, isu kami dengan Umno adalah sikap segelintir pemimpin yang masih bertindak rasis.

“Tiada apa untuk kami menolak atau takut dengan kerjasama Umno dan PAS. Sebab, hubungan kami PAS juga masih di tahap sangat sihat,” jelasnya.

Pemimpin pusat Umno Nazri Abdul Aziz mendakwa bahawa beliau menjadi mangsa MCA dan MIC yang didakwanya tidak senang dengan pengukuhan kerjasama PAS-Umno.

Gunalan juga berkata kerjasama Umno-PAS adalah tamparan hebat buat Pakatan Harapan yang didakwanya semakin goyah.

“PH semakin panik dengan pengundi Melayu mula kembali kepada BN, manakala, pengundi Cina dan India boikot PRK sehingga PH kalah di Cameron Highlands dan Semenyih.

“Dengan kehadiran PAS secara rasmi ke pangkuan BN, ia akan menyusahkan lagi keadaan PH,” tegasnya.