Pimpinan DAP tahu atau tidak siapakah yang bertanding? – Datuk T.Murugiah

Pimpinan DAP tahu atau tidak siapakah yang bertanding? – Datuk T.Murugiah

CAMERON HIGHLANDS – Nampaknya DAP benar-benar kecut perut dengan MIC sehingga terpaksa cakap pelbagai isu yang tidak relevan sejak akhir-akhir ini, termasuk menyerang parti terbesar masyarakat India demi cubaan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Sejak awal lagi pemimpinnya asyik bercakap tentang MIC sebagai modal kempen. Menurut Naib Presiden MIC, Datuk T. Murugiah, pimpinan DAP sudah hilang modal sehingga menjadikan MIC sebagai modal berkempen saban hari. “Pimpinan DAP tahu atau tidak siapakah yang bertanding? MIC tidak bertanding, yang bertanding adalah calon dalam kalangan Orang Asli yang mendapat persetujuan daripada MIC.

“Dari awal-awal lagi PH khasnya DAP sudah ‘hilang muka’ selepas BN membuat pengumuman untuk meletakkan calon dalam kalangan Orang Asli. Kamu sudah seperti cacing kepanasan kerana saat-saat akhir tidak dapat tukar calon selain Manogaran, mengaku sahaja. “Memang saya mengaku DAP sememangnya berani, berani dalam beri wang petrol, wang makan dan macam-macam lagi kemudian cakap macam tidak ada apa-apa. Kamu juga yang sebelum melompat-lompat tentang isu rasuah.

“Kini kamu termasuk Penasihat DAP selain daripada badan pemantau pilihan raya seperti Bersih pun angguk geleng kepala dan menghalalkan apa yang kamu cakap salah, lebih baik diam dari cakap tentang MIC. “Kamu semua ‘belot’ kepada rakyat dengan buat pusingan U dengan mengatakan janji manifesto itu bukan semuanya boleh dilaksanakan kerana tidak masuk akal, semua iniasiatif BN selama ini kamu guna balik dengan tukar, ini di Cameron Highlands, kamu janji entah macam-macam lagi,” katanya.

Beliau mengulas laporan MalaysiaGazette bahawa MIC disifatkan ‘penakut’ selepas berdepan dengan ‘kemarahan’ masyarakat Melayu berikutan isu rusuhan kuil Sri Maha Mariamman Seafields menyebabkan kematian ahli bomba Allahyarham Mohamad Adib Mohd. Kassim. Sebaliknya DAP mendabik dada mengatakan mereka jauh lebih berani dengan meletakkan M. Manogaran yang pernah kalah dua kali di kawasan itu sebagai calon, dan masih berani ‘memperjudikan’ calon sama.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tanah Rata, Chiong Yoke Kong mendakwa, MIC ‘kecut perut’ sehingga sanggup melepaskan sahaja kerusi tradisi yang selama ini dimenanginya. Kata Murugiah, DAP tidak layak membandingkan parti mereka dengan MIC yang terbukti jasanya selama lebih 60 tahun.

“Apa yang kamu buat selain daripada bercakap dan bercakap tidak henti sehingga kini? Selain tuding jari dan bercakap tentang kaum apa lagi kamu pandai? Lupa, kini kamu pandai buat ‘U Turn’ juga. Itu pandai. “Kami dalam MIC amat berharap DAP kalah. Malah kami akan kerja keras pasti calon kami dalam BN menang, itu sudah pasti,” ujarnya.