Dr Subra merasmikan “Pusat Bersalin Berisiko Rendah” di Alor Setar

Dr Subra merasmikan “Pusat Bersalin Berisiko Rendah” di Alor Setar

November 06, 2017

UCAPAN PERASMIAN
DATUK SERI DR. S. SUBRAMANIAM
YB MENTERI KESIHATAN MALAYSIA,
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN LOW RISK BIRTHING CENTER (LRBC) ALOR SETAR,
PADA 5 NOVEMBER 2017 DI HOSPITAL SULTANAH BAHIYAH ALOR SETAR, KEDAH

1. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah atas kejayaan membangunkan Low Risk Birthing Center (LRBC) atau nama lainnya Pusat Bersalin Berisiko Rendah Alor Setar. Saya juga mengalu-alukan kedatangan para jemputan yang terdiri dari pegawai-pegawai dari Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri, pegawai-pegawai dari agensi-agensi Persekutuan dan Negeri Kedah.

2. Kementerian Kesihatan Malaysia amat prihatin dalam mempertingkatkan taraf dan mutu penjagaan kesihatan kepada rakyat. Semenjak saya mengambil alih pucuk pimpinan Kementerian Kesihatan Malaysia ini, pelbagai aktiviti dan program transformasi kesihatan yang dilaksanakan dalam usaha kita untuk terus memajukan dan melestarikan penjagaan kesihatan ke arah yang lebih baik. Di antara aktiviti dan program adalah seperti fokus kepada penyakit tidak berjangkit di kesihatan primer (Primary Care as Focus of NCD Agenda), pembangunan hospital kluster (Develop Hospital Cluster), transformasi perkhidmatan pra-hospital (Transformation of Pre-Hospital Care –Emergency Response) dan termasuklah pembangunan pusat bersalin berisiko rendah (Establishment of Low Risk Birthing Center).

3. Kemasukan pesakit wanita untuk bersalin di hospital kerajaan adalah semakin meningkat dan merupakan antara penyumbang utama kepada kesesakan kemasukan di hospital-hospital KKM. Menurut Laporan Tahunan Sub Sistem Rawatan Perubatan KKM, kehamilan merupakan penyebab utama kemasukan ke hospital-hospital kerajaan pada setiap tahun (22.31% pada tahun 2014 dan 22.99% pada tahun 2015).

Hadirin sekalian,

4. Pada tahun 2014, dari 380,714 kelahiran, sebanyak 285,643 kelahiran merupakan kelahiran normal (SVD). Jika dibandingkan dengan tahun 2015, di mana sebanyak 284,605 kelahiran adalah kelahiran normal (SVD) dari 387,076 kelahiran.

5. Data preliminary tahun 2016 HIMS Sub Sistem Perawatan Perubatan menunjukkan bahawa jumlah kemasukan pesakit ke wad obstetrik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar adalah 15,172. Kadar penggunaan katil (Bed Occupancy Rate) wad obstetrik adalah 87.32% dan kadar penggunaan katil hospital pula adalah 81.16%.

6. Ini jelas menunjukkan peningkatan beban kerja dan aras kesesakan di dewan bersalin dan juga wad-wad obstetrik yang seterusnya menyebabkan kesesakan di hospital secara amnya. Menyedari hal ini, Kementerian merancang untuk mengalihkan sebahagian kes kehamilan yang berisiko rendah ke luar kawasan hospital dengan cara pembangunan Low Risk Birthing Center (LRBC).

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

7. Objektif pembangunan LRBC adalah mengoptimalkan sumber sedia ada untuk tujuan mengurangkan kesesakan di wad-wad bersalin dan hospital-hospital KKM secara amnya. Dengan ini, ia juga membolehkan pakar-pakar O&G memberi tumpuan dan fokus dalam memberikan perawatan kepada wanita-wanita dengan kehamilan berisiko tinggi.

8. Walau bagaimana pun, keselamatan pesakit dan kualiti tinggi perkhidmatan yang diberikan tetap menjadi keutamaan dalam menjalankan perkhidmatan Low Risk Birthing Center (LRBC) ini. Perkara ini merupakan agenda utama dalam setiap perbincangan dan proses pembangunan LRBC ini.

9. Fasiliti ini dilengkapi dengan peralatan dan kakitangan terlatih dan berpengalaman yang terdiri daripada pegawai perubatan dan jururawat terlatih dengan Pos Basik Kebidanan. Garis panduan (SOP) khusus pengendalian kelahiran di LRBC turut diadakan.

10. Wanita hamil akan melalui penilaian oleh Pakar Perubatan Keluarga di klinik kesihatan dan kes yang memenuhi kriteria yang ditetapkan akan disarankan untuk menjalani kelahiran di LRBC. LRBC ini juga dilengkapi dengan ruangan resusitasi bayi dan ambulans sekiranya terjadi sebarang kejadian kecemasan.

 

11. Lokasi ini dipilih untuk menempatkan LRBC ini kerana kedudukannya yang berdekatan dengan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar yang berjarak 6.2 km dengan tempoh perjalanan sekitar 12 minit.

12. LRBC ini apabila beroperasi penuh akan dilengkapi dengan 4 buah delivery suite, 1 bilik pemerhatian sebelum persalinan (antenatal) dengan 6 katil dan 1 bilik pemerhatian selepas bersalin (postnatal) dengan 6 katil. Walau bagaimana pun, untuk permulaan hanya 2 delivery suite, 3 katil antenatal dan 3 katil postnatal sahaja akan digunakan. LRBC Alor Setar ini akan memberikan perkhidmatan kepada wanita-wanita dengan kehamilan berisiko rendah dari daerah Kota Setar, Pendang dan Kubang Pasu.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

13. Pembangunan LRBC ini telah menggunakan peruntukan yang berjumlah RM865,000.00 dengan pecahan RM500,000.00 untuk kerja-kerja pengubahsuaian, RM200,000.00 untuk peralatan perubatan, RM100,000.00 untuk peralatan bukan perubatan dan RM65,000.00 untuk ICT.

14. Istimewanya lagi, semua pesakit yang bakal bersalin akan diberi orientasi dalam konsep ”customer delight” kepada ibu dan kaum keluarga sebelum tibanya waktu bersalin (di antara masa kandungan 36 minggu dan 37 minggu). Dengan ini juga, semua ibu mengandung akan mendapat layanan dan suasana eksekutif dengan bayaran kos yang paling minima (RM30 ke RM50). Ibu yang bersalin di sini akan di benarkan pulang dalam tempoh 6 jam selepas bersalin.

15. Akhir kata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat dan bertungkus-lumus untuk menjayakan pembangunan Low Risk Birthing Center (LRBC) Alor Setar ini. Dengan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Low Risk Birthing Center (LRBC) Alor Setar.

We work as a team to provide the best for the Rakyat.

Sekian, terima kasih.