UCAPAN DASAR DATUK SERI DR S.SUBRAMANIAM  PRESIDEN MIC – AGM 2017

UCAPAN DASAR DATUK SERI DR S.SUBRAMANIAM PRESIDEN MIC – AGM 2017

UCAPAN DASAR DATUK SERI DR S.SUBRAMANIAM 
PRESIDEN MIC
DI PERHIMPUNAN AGUNG MIC KE-71
24 SEPTEMBER 2017
PWTC, KUALA LUMPUR

Salam Sejahtera dan Salam Negaraku,

“Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat” pepatah Melayu ini benar-benar dapat dihayati ketika ini dengan hadirnya semua pemimpin Barisan Nasional yang melambangkan politik mantap selama 60 Tahun. Saya mengalu-alukan kehadiran semua dengan ucapan Vanakam, salam sejahtera dan salam satu Malaysia. Seterusnya dipanjatkan doa kepada Yang Maha Esa kerana memberi ruang dan peluang kepada kita untuk bersama-sama dalam Mesyuarat Agung MIC kali ke-71.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dan isteri, Yang Amat Berbahagia Datin Seri Rosmah Mansor, yang kita sayangi dan sanjungi di atas kesudian YAB Dato’ Sri dan isteri untuk menghadiri dan merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-71 ini.

Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih ke atas kehadiran pemimpin-pemimpin dan rakan-rakan dari Barisan Nasional kerana meluangkan masa bersama kami di dewan yang mulia ini. Sesungguhnya, kehadiran tuan-tuan dan puan-puan pada hari yang bersejarah ini jelas menunjukkan semangat kekeluargaan dan persahabatan serta solidariti dalam Barisan Nasional yang menjadi tonggak kekuatan politik di Malaysia. Kesinambungan yang wujud ini merupakan komitmen dalam konsep perkongsian kuasa yang telah menjadi amalan sejak era kemerdekaan.

Keakraban yang terjalin dalam Barisan Nasional membuktikan hubungan silaturahim dan setia kawan dapat memacu pentadbiran kerajaan sejak merdeka hingga sekarang. Kerajaan Barisan Nasional telah memajukan negara dengan acuannya sendiri sehingga kita muncul sebagai sebuah negara model kepada dunia.

Yang Amat Berhormat Dato Sri,

Dasar Luar Negara yang Proaktif dan Inklusif

MIC menyokong penuh Dasar Luar Negara yang diterajui oleh YAB Dato’ Sri yang meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara domain politik antarabangsa tanpa memihak atau condong terhadap sesebuah negara. Hubungan dua hala dengan China membawa berkat kepada negara. Kerjasama erat dengan China telah berupaya membawa pelaburan masuk ke negara kita bagi meningkatkan ekonomi. Pelbagai tohmahan negatif dilemparkan terhadap usaha untuk bekerjasama dengan China ini tidak membawa apa-apa kesan kerana rakyat Malaysia sudah pun matang untuk menilai dan memahami hasrat kerajaan.

Namun demikian lawatan kerja rasmi YAB Dato’ Sri yang seterusnya ke Amerika Syarikat dan pertemuan dengan Presiden Donald Trump telah membuka satu lembaran baru dalam hubungan dengan negara-negara kuasa besar yang mana meletakkan Malaysia di kaca mata global. Kedua-dua lawatan rasmi jelas membuktikan Dasar Luar Negara kita lebih telus dan terbuka yang berunsurkan perspektif global.

Dasar Luar Negara kita tidak terhenti di situ sahaja. Malah, hubungan mesra sudah lama terjalin dengan negara-negara Timur Tengah khususnya Arab Saudi. Pertemuan YAB Dato’ Sri dengan Tuan Yang Terutama Narendra Modi, Perdana Menteri India, benar-benar memperlihatkan kemantapan kepimpinan kerajaan Malaysia untuk memacu kestabilan dari segi politik, geopolitik dan ekonomi negara di persada dunia.

Sewaktu lawatan rasmi dua hala YAB Dato’ Sri ke India baru-baru ini, saya berpeluang mengiringi YAB Dato’ Sri dalam rombongan tersebut. Lawatan rasmi berkenaan yang telah berupaya mengukuhkan hubungan bilateral Malaysia dan India. Dalam aspek ini MIC bersama-sama wakil komuniti India telah mengadakan pelbagai rundingan serta interaksi dengan rakan-rakan dari India. Ianya telah membawa kesan positif dalam bidang politik,ekonomi dan kebudayaan. Hubungan dua hala India dengan Malaysia dapat membawa manfaat kepada masyarakat India khususnya di Malaysia yang mempunyai ikatan sejarahnya.

Beberapa hari lalu, saya berkesempatan untuk membuat lawatan ke Tamil Nadu, India untuk menjalin hubungan dua hala dalam memantapkan kerjasama bagi memartabatkan bahasa Tamil di Malaysia. Saya juga berkesempatan untuk memaparkan sumbangan kerajaan Malaysia dalam usaha mengukuhkan pendidikan Tamil di negara ini. Sukacitanya saya ingin maklumkan bahawa kerajaan Tamil Nadu telah memberikan komitmen mereka dan persetujuan untuk memberi kepakaran serta kemudahan yang lain bagi memartabatkan bahasa Tamil di negara ini. Lawatan tersebut juga telah mengeratkan lagi hubungan dari segi sosio-budaya dan persaudaraan.

Pelbagai cadangan telah dibincangkan untuk meningkatkan hubungan dua hala Malaysia – India dalam lawatan kerja rasmi yang diterajui oleh YAB Perdana Menteri. Ada di antara cadangan itu telah diterjemahkan kepada realiti melalui pelaksanaan, walau apa pun, saya yakin ia akan menyumbang kepada kekuatan masyarakat India di negara ini.

Yang Amat Berhormat Dato Sri,

MIB Bakal Mengubah Destini Masyarakat India.

MIC sentiasa memberi sokongan yang padu kepada kerajaan dan kepimpinan Perdana Menteri. Inilah kali pertama segala rintihan dan masalah masyarakat India yang diperjuangkan oleh MIC mendapat perhatian serta tindakan proaktif kerajaan.

Tanggal 23 April 2017 telah mencatat detik sejarah yang paling bermakna kepada kaum India di Malaysia kerana YAB Dato’ Sri telah melancarkan Malaysian Indian Blueprint (MIB). MIB dapat direalisasikan atas kesungguhan dan komitmen YAB Perdana Menteri yang amat prihatin terhadap masyarakat India di Malaysia. Inilah kali pertama seorang Perdana Menteri secara langsung turun padang melancarkan satu pelan tindakan khusus untuk masyarakat India di negara ini.

Di kesempatan ini saya dengan rendah diri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri terhadap kesudian beliau membantu masyarakat India. Pelancaran MIB telah membuka lembaran baru, memberi nafas baru dan keyakinan kepada kita membentuk masa depan yang cerah untuk generasi akan datang. Kita berharap pelaksanaan MIB akan memberi keyakinan kepada masyarakat yang lama terpinggir.

Bukan sekadar itu sahaja, satu unit khas ditubuhkan bagi memastikan pelaksanaan MIB untuk mengubah destini masyarakat India dalam jangka masa yang ditetapkan.

Saya merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada YAB Perdana Menteri kerana memberi kepercayaan dan melantik saya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Indian Blueprint. Ini bukanlah forum untuk mengupas keseluruhan inti pati MIB yang pastinya akan meletakkan masyarakat India seiring dengan arus pembangunan negara.

Struktur pelaksanaan MIB merangkumi:
• Jawatankuasa Kabinet Hal Ehwal Masyarakat India.
• Jawatankuasa Eksekutif Malaysian Indian Blueprint.
• Jawatankuasa Khas pelaksanaan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan untuk memantau      perlaksanaan.
• Jawatankuasa perhubungan komuniti (Community Liaison Committee) yang terdiri daripada pemimpin politik, NGO, ahli akademia dan usahawan dari sektor korporat.

Perlaksanaan MIB dirangka secara inklusif yang mengambil kira segala aspek dan suara komuniti. Saya amat berharap MIB diterima secara meluas dan dihargai oleh masyarakat India agar kita akan capai setiap objektif yang disasarkan. MIB merupakan satu wadah yang bakal mengubah status sosio-ekonomi masyarakat India dengan adanya komitmen kerajaan. Walaupun setiap pelan tindakan telah digariskan dengan sewajarnya namun ianya hanya boleh dilaksanakan jika adanya perubahan polisi di peringkat kerajaan.

Yang Amat Berhormat Dato Sri,

Perlunya Perubahan Polisi Di Peringkat Kerajaan

Objektif serta matlamat yang digariskan dalam MIB hanya boleh dicapai sekiranya birokrasi kerajaan atau dasar dan polisi memberi ruang perlaksanaan dengan sepenuhnya.

Pertama;
Isu taraf kewarganegaraan kepada mereka yang lahir sebelum 1957 dan yang bermastautin selepas kemerdekaan masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya. MIC telah menyarankan bahawa semua individu keturunan India yang dilahirkan di Malaysia sebelum 1957 diberikan kewarganegaraan secara automatik tetapi ianya gagal dilaksanakan kerana masih ada tatacara birokrasi yang menggagalkan permohonan mereka. Justeru, perlunya pindaan polisi bagi menyelesaikan isu ini dalam mendapatkan kewarganegaraan untuk segelintir masyarakat India yang belum dapat menikmati keistimewaan sebagai warganegara Malaysia. Saya telah memohon untuk berjumpa dengan YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, merangkap Menteri Dalam Negeri. Ia bertujuan untuk menyelesaikan isu ini dan meminda polisi bagi mengizinkan isu kerakyatan dapat diselesaikan. Isu kewarganegaraan yang tertangguh sejak beberapa tahun selepas kemerdekaan ini menjadi isu politikus pembangkang setiap kali PRU diadakan.

Kedua;
Begitu juga Isu kemasukan kaum India di dalam sektor perkhidmatan awam. Usaha untuk meningkatkan 7% penyertaan kaum India dalam sektor perkhidmatan awam hanya akan menjadi realiti jika usaha proaktif dijalankan bagi mencapai sasaran tersebut. Ini kerana polisi serta dasar JPA yang diguna pakai tidak langsung memberikan ruang untuk melaksanakan aspirasi yang termaktub dalam MIB. MIB merupakan inisiatif kerajaan tetapi birokrasi agensi-agensi kerajaan pula menghalang hasrat murni YAB Dato’ Sri. Apa yang kami khuatir ialah pihak yang sedang menunggu PRU14 akan menggunakan isu ini untuk meraih undi masyarakat India dengan pelbagai fitnah.

Ketiga;
Peluang penglibatan pengusaha dan peniaga kecil dan sederhana (IKS) dalam kalangan masyarakat India menghadapi masalah untuk mendapatkan peluang perniagaan dengan sektor kerajaan. Dasar-dasar yang sedia ada perlu dikaji dan disesuaikan agar usahawan dari masyarakat India mendapat akses kepada kontrak-kontrak kerajaan. Ini secara langsung dapat membantu masyarakat India menikmati hasil ekonomi negara secara adil dan saksama. Segala usaha dan langkah untuk menjayakan MIB bergantung pada anjakan polisi kerajaan yang sedia ada.

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri,

Menjana Transformasi Masyarakat India

Salah satu objektif murni MIB adalah untuk membawa transformasi dari segi ekonomi kepada masyarakat India yang kini berdepan dengan pelbagai cabaran. Salah satu sektor yang kami sedang memberi perhatian ialah penglibatan masyarakat India dalam sektor perniagaan kecil dan sederhana (IKS). Saya juga telah mengarahkan agar Economic Wing di bawah MIB memastikan setiap penglibatan IKS ada kejayaannya tersendiri. Pinjaman kewangan sahaja tidak memadai. Kita perlu menyediakan pelbagai bidang kemahiran untuk diterokai untuk meningkatkan akses kepada pasaran.

Intervensi kerajaan amat diperlukan untuk menggiatkan sektor IKS dalam kalangan pengusaha India. Saya berterima kasih atas kemudahan pinjaman melalui agensi Amanah Ikhtiar dan Tekun. Saya ingin mengemukakan cadangan supaya Dana Modal Pusingan (Revolving Fund System) sebanyak RM500 juta diwujudkan. Ini akan memberi keyakinan kepada peniaga dan pengusaha India untuk memperluaskan perniagaan. Saya turut mengarahkan Unit Ekonomi (MIB) untuk memastikan intervensi yang dibuat membawa keberkesanan serta kepercayaan kaum India terhadap kerajaan.

Transformasi Pendidikan Untuk Masyarakat India

Pendeta Thiruvalluvar telah menyatakan ilmu adalah teras untuk transformasi sesuatu masyarakat. Lanjutan daripada itu, pendidikan merupakan kunci untuk membebaskan mereka daripada lingkaran sosio-ekonomi seseorang.

Ramai daripada pelajar India dalam usaha meneruskan pengajian ke menara gading gagal mendapat tempat di universiti awam disebabkan oleh polisi pengambilan pelajar di IPTA. Kebanyakan mereka sangat berkelayakan, contohnya ada yang mendapat 4.0 (flat) CGPA dalam matrikulasi namun tidak mendapat tempat untuk pengajian perubatan di universiti awam. Dasar Universiti Awam yang mengurangkan bilangan pengambilan memberi impak di mana ramai pelajar India yang cemerlang dalam akademik terpaksa menempatkan diri mereka di universiti swasta.

PTPTN telah membantu ramai pelajar khasnya daripada golongan kurang berada dan miskin. Tetapi bagi sesetengah bidang pengajian profesional, pinjaman yang diberikan tidak mencukupi. Justeru, saya telah mencadangkan dalam jawatankuasa MIB, perlunya mekanisme pembiayaan tambahan bagi menyokong pelajar India daripada golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Bagi mengatasi masalah ini saya memohon supaya mewujudkan Tabung Pendidikan Sampingan (Suplimentary Funding) untuk menampung kos pendidikan pelajar-pelajar yang datang daripada keluarga yang miskin. Kemiskinan dan isu kewangan tidak seharusnya menjadi faktor penghalang impian pelajar miskin bagi meneruskan pengajian di IPT.

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri,

Ucapan Takziah Kepada Keluarga Mangsa Tahfiz

Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa-mangsa tragedi kebakaran sekolah tahfiz di Datuk Keramat, Kuala Lumpur yang telah mengorbankan 23 nyawa. Kejadian yang amat menyedihkan ini telah mengejutkan seluruh rakyat Malaysia. Saya juga memanjat doa agar tuhan memberikan kekuatan dan ketabahan kepada keluarga mangsa dalam menempuh saat-saat yang sangat memilukan. Sehubungan dengan kejadian kebakaran, saya ingin menyentuh tentang terhakisnya nilai-nilai murni di kalangan generasi muda sekarang. Gara-gara balas dendam telah meragut nyawa insan yang tidak berdosa. Ini merupakan amaran kepada kita secara umumnya. Masyarakat India turut terkesan dengan kejadian–kejadian sebegini sebelum ini di mana mendiang Nhaveen telah terkorban disebabkan angkara beberapa orang remaja yang tidak bertanggung jawab.

Pakar-pakar sosial telah menyatakan ia berpunca dari keluarga yang kurang bertanggungjawab dan bermasalah. Antaranya:
• Kemiskinan
• Latar belakang keluarga yang tidak stabil
• Status ekonomi rendah
• Persekitaran yang kurang kondusif
• Keadaan rumah yang tidak selesa dan
• Cabaran sistem pendidikan

Justeru tibalah masanya dan wujudlah keperluan bagi saya menyarankan agar kita mengkaji faktor-faktor yang menyumbang kepada keruntuhan akhlak di kalangan golongan muda. Secara kolektifnya kita perlu bertindak mencari jalan penyelesaian kepada persoalan tersebut. YAB Dato’ Sri, sudah sekian lama MIC memohon agar pendidikan agama diperkenalkan kepada pelajar India khasnya di sekolah Tamil. Banyak cadangan telah dipanjangkan kepada pihak berkaitan namun kita gagal meraih sokongan melalui sistem pendidikan yang sedia ada. Pendapat umum mengatakan bahawa isu keruntuhan moral di kalangan golongan muda India disebabkan oleh didikan agama yang tidak meluas.

Sudah tiba masanya untuk kita berfikir secara kolektif untuk menangani keretasan sosial yang menular di kalangan masyarakat India. Kita seharusnya mencari jalan penyelesaian dalam tempoh masa yang terdekat. Bagi masyarakat India, cadangan untuk memberikan didikan agama di sekolah rendah tidak mendapat sebarang maklum balas daripada Kementerian Pendidikan Malaysia. Saya ingin menegaskan bahawa ajaran agama dari pelbagai amalan harus disediakan dalam sistem pendidikan disebabkan institusi keluarga gagal berbuat demikian. Kita tidak mahu melihat kejadian di sekolah tahfiz atau kematian Nhaveen berulang lagi.

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri,

Isu Rohinya

MIC memandang serius penderitaan masyarakat Rohinya dari segi perikemanusiaan sejagat. MIC menyokong penuh keputusan YAB Perdana Menteri dalam isu pelarian Rohinya dan dasar luar negara serta pendirian kerajaan dalam membantu mereka secara menyeluruh. Konflik Bertukaran Agama Satu Pihak (Unilateral Conversion).

Isu pertukaran agama satu pihak yang berlarutan sejak beberapa tahun belum lagi dapat diselesaikan secara berhemah. Isu ini sememangnya menjadi isu besar di kalangan masyarakat Hindu. Hasrat murni kerajaan menamatkan isu kontroversi ini dengan cadangan membuat pindaan terhadap Akta 164 telah tersasar tujuannya apabila seksyen 88A yang telah dicadangkan telah digugurkan.

Walaupun kita berjaya mencapai beberapa pindaan berhubung dengan akta perkahwinan namun dalam isu pertukaran agama satu pihak terhadap anak-anak, penyelesaian yang bernas belum lagi dapat dicapai setakat ini. Ini telah menimbulkan rasa kurang puas hati di kalangan masyarakat Hindu dan bukan Islam secara amnya yang berdepan dengan isu ini. MIC telah menyuarakan hal ini di beberapa forum dan sememangnya komited untuk mencari jalan penyelesaian tanpa mencetuskan suasana yang tidak harmoni dalam urusan pertukaran agama. Saya memohon sokongan politik dan keputusan politik (political decision) YAB Dato’ Sri bagi mempertimbangkan cadangan Kabinet 2009. Cadangan tersebut menetapkan bahawa anak-anak akan kekal dengan agama asal semasa kelahiran mereka sehingga umurnya mencapai 18 tahun.

MIC tetap komited dan akan berusaha untuk menyelesaikan isu pertukaran agama satu pihak anak-anak iaitu “unilateral conversion” kerana kita tidak mahu melihat insiden perpisahan antara anak dan ibu yang memberi tekanan yang hebat kepada kebanyakan keluarga yang terlibat.

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri,

Menjamin Kesinambungan Barisan Nasional

Sekian lama kita telah mengamalkan sistem politik pengagihan kuasa antara UMNO,MCA dan MIC serta parti-parti komponen lain di bawah naungan Barisan Nasional. Tradisi dan gagasan pengagihan kuasa yang dipersetujui dapat memakmurkan serta membangunkan negara Malaysia. Dengan berubahnya demografi negara maka demografi politik turut berubah. Sejak Merdeka, negara telah diperintah oleh Parti Perikatan dan seterusnya diambil alih oleh BN. MIC telah bersama-sama UMNO dan MCA sejak era Parti Perikatan serta mengekalkan hubungan bersejarah tersebut sehingga kini.

Secara tradisi wakil MIC yang bertanding di kawasan yang mempunyai pengundi daripada pelbagai kaum, di mana kaum India agak besar jumlahnya tetapi bukan majoriti. Arena politik menjadi semakin dinamik selepas pilihan raya umum pada 2008. Akibatnya, banyak parti politik mencari pendekatan bagaimana menghadapi pilihan raya umum.

Dalam proses berkenan, kita berharap agar konsep perkongsian kuasa tidak boleh dikompromi oleh mana-mana pihak. Ini penting dan MIC perlu diberi peluang bertanding di kawasan parlimen yang ditandinginya terdahulu. Kita berharap semua parti komponen BN akan menyedari hakikat ini dan akur dengan konsep konsesi BN. Prinsip inilah yang telah menyatukan kita semua dan akan menyatukan kita di masa-masa akan datang. Saya menegaskan perkara sebegini kerana adanya kenyataan bahawa komuniti majoriti sahaja boleh bertanding di kawasan yang mereka mempunyai majoriti. Sebagai seorang Perdana Menteri yang berjiwa rakyat,saya percaya dan yakin bahawa YAB Dato’ Sri terus mendukung aspirasi pengagihan kuasa.

Sokongan Padu Demi Kesejahteraan

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri,

Semenjak YAB Dato’ Sri menerajui pucuk pimpinan sebagai Perdana Menteri Malaysia, banyak inisiatif kerajaan telah dilaksanakan untuk meletakkan masyarakat India seiring dengan arus pembangunan negara. Justeru itu, saya bagi pihak MIC dan masyarakat India sentiasa mengenang budi dan berterima kasih. PRU 14 bakal diadakan bila-bila masa.

Oleh yang demikian, MIC akan mengambil langkah yang drastik demi mengembalikan keyakinan masyarakat India terhadap Barisan Nasional. MIC juga akan berusaha secara agresif untuk menghadapi PRU-14 dengan memastikan lebih ramai pengundi India kembali mengundi BN dan bertekad memenangi lebih banyak kerusi DUN dan Parlimen berbanding dengan yang sedia ada.

MIC juga akan memastikan Barisan Nasional sekali lagi menang dengan majoriti yang besar dan diberi mandat untuk menerajui kerajaan demi menjamin kesejahteraan rakyat. Saya percaya dan yakin YAB Dato Sri akan menerajui kembali tampuk kepimpinan kerajaan sebagai Perdana Menteri sekali lagi dengan kemenangan besar BN pada PRU 14 nanti. Saya menyeru kepada perwakilan yang hadir pada hari ini untuk bersedia dan melengkapkan diri untuk mengembalikan kegemilangan MIC.

Yang Amat Berhormat Dato Sri,
Saya dengan bangganya menyatakan MIC akan memikul aspirasi dan hasrat YAB Dato’ Sri, Perdana Menteri yang kita kasihi, seorang pemimpin berjiwa rakyat yang menjadi tonggak BN demi memastikan tidak ada kaum yang terpinggir daripada arus pembangunan negara Malaysia
Sekian, Terima kasih.

Nandri, Vanakam. NEGARAKU MALAYSIA