Pembangkang Hanya Hebat Mengkritik, Tidak Buat Apa-Apa:- Datuk C Sivarraajh

Pembangkang Hanya Hebat Mengkritik, Tidak Buat Apa-Apa:- Datuk C Sivarraajh

26/04/2017 — Pembangkang Hanya Hebat Mengkritik, Tidak Buat Apa-Apa:- Datuk C Sivarraajh

Masyarakat India di negara ini diminta untuk bersama-sama meletakkan harapan dan kepercayan terhadap Pelan Tindakan Untuk Masyarakat India seperti yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada Ahad lalu.

Dalam hal ini, Ketua Pemuda MIC, Datuk C Sivarraajh yakin bahawa pelan jangka masa panjang itu adalah langkah terbaik untuk mengukir kejayaan dan pembangunan komuniti India.

“MIC dan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang diamanahkan dan komited untuk melaksanakan Pelan Tindakan Masyarakat India.

“Selain itu, penjawat awam juga perlu membantu untuk melaksanakannya dan memastikan ia berjaya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau dalam kenyataannya juga turut menyelar dakwaan pembangkang yang mengkritik usaha tersebut dengan melabelkan pelancaran pelan tersebut sebagai ‘gimik politik’.

“Para pemimpin pembangkang dari DAP dan PKR hanya pandai mengkritik tanpa menilai pentingnya pelan tindakan tersebut.

“Ketika kita bermesyuarat, pemimpin-pemimpin pembangkang telah dijemput untuk mengambil bahagian dalam memberi input dan idea mereka.

“Namun dengan ego yang tinggi, mereka tidak muncul dan kini seperti biasa mereka mengkritik usaha yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional,” kata Datuk Sivarraajh.

Tambahnya, kritikan pembangkang adalah sia-sia memandangkan mereka tidak pernah mempunyai pelan yang seumpamanya untuk pembangunan masyarakat India.

“ini menunjukkan Pakatan Harapan hanya inginkan undia masyarakat India dan kemudiannya akan mengabaikan mereka,” ujar beliau lagi.

Buat pertama kalinya, pelan tindakan pembangunan masyarakat India diumumkan seperti mana yang dijanjikan dalam Rancangan Malaysia ke-11.

Rangka tindakan 10 tahun itu merupakan hasrat kerajaan meningkatkan kedudukan masyarakat India dengan jumlah komunitinta seramai 1.7 juta orang.

Ia melibatkan peruntukan lebih RM1 bilion, dengan penekanan kepada pendidikan, penyertaan dalam perkhidmatan awam dan masalah taraf kewarganegaraan.